Friday 11 January 2013

Bantu lah aku menjadi solehah (monolog hati kecilku)



Aku kira, tiada manusia yang masih bujang terkecuali daripada mengangankan kehidupan berbaitul muslim/rumah tangga islam (BM) yang sakinah mawaddah dan rahmah. Baik ikhwah mahupun akhowat.Sebagai wanita, aku tidak terkecuali daripada kelompok yang mengimpikan keindahan untuk meniti fasa tersebut, sepanjang proses untuk mempersiapkan diri, proses untuk ke arah matlamat BM, melangkah ke fasa BM, membinanya & menitinya. Aku mengimpikan & cuba mengusahakan agar seluruh proses itu dijalani di dalam keredhaan Allah SWT. InsyaAllah.
Tidak ada.. tidak ada aku kira, manusia yang bernama wanita yang tidak mahu disunting dengan cara yang paling mulia, terjaga, diberkati & terhormat.
Oleh itu, catatan ini ditulis dari ruang reluk hati seorang wanita biasa yang mungkin boleh memberi gambaran apakah sebenarnya yang diharapkan oleh seorang wanita, ketika kamu telah berhajat untuk menyuntingnya.


Tujuan, perancangan & matlamat Berbaitul Muslim.
Pertama sekali wahai pemuda tiang agama,
Muhasabahlah kembali... apakah tujuan berbaitul muslim ini.?
Apakah tujuan kita berumah tangga ini? Adakah sudah cukup bersedia mental, fizikal, ilmu & perancangan ke arah BM ini?
Ke mana nak dibawa hubungan yang halal ini?
Adakah semata hanya untuk kamu halal memegang tangan wanita idamanmu?
Atau hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsumu?

Baitul muslim ini, tujuannya bukanlah semata-mata mahu menghalalkan perhubungan antara lelaki & wanita yang bukan mahram. Namun, ia adalah lebih besar & mulia daripada itu.

Ia adalah medan terbaik untuk melahir & mendidik para pelapis pejuang Islam yang hebat...!
Sekiranya kamu tahu, kamu sedang mencari seorang calon isteri, ibu & pendidik yang bakal mendidik para pejuang Islam yang hebat ini...
...pastilah kamu akan lebih mengerti betapa pentingnya untuk mencari, memilih calon serta meneliti proses untuk membina dirimu sendiri selaku Imam besar di dalam rumah tangga yang bakal dibina ini.
Sememangnya ia bukan hal yang kecil & sematanya indah penuh mimpi...!

Sebelum kamu berani melirik matamu ke arah muslimat dengan niat mahu mencari-cari calon isteri, apakah kamu telah benar-benar menyiapkan dirimu dengan asas-asas untuk menjadi Imam Besar baitul muslim yang bakal dibina nanti?Mari mempersiapkan diri. Jadi soleh & solehah.

Menurut Ustazah Fatimah Syarha, dalam proses penyediaan diri ke arah BM, sekurang-kurangnya kamu telah menghadiri 5 seminar berkenaan asas-asas pembinaan Baitul Muslim. Juga sekurang-kurangnya kamu telah membaca 50 buah catatan orang soleh & solehah/buku/kitab yang membincangkan tentang BM sebelum bernikah. Contoh Seminar Baitul Muslim : catatannya DI SINI ; juga boleh menyertai KULIAH BAITUL MUSLIM secara online secara berkala di sini >> KULIAH BM Bersama Ummu Atifah.Lengkapkan pengetahuan tentang BM, tujuannya, bagaimana ke arahnya, membinanya, apakah perkara yang diperlukan untuk membinanya. Semuanya perlu diketahui terlebih dahulu dengan jelas & nyata.

Selain itu, pemuda yang berhasrat mahu berkeluarga lebih baik sekiranya mempunyai perancangan masa hadapan yang jelas untuk dirinya sendiri & keluarga yang bakal dipimpinnya.
Nakhoda yang baik untuk mengetuai sesebuah perjalanan bahtera haruslah terlebih dahulu mengetahui arah tujuan, arah perjalanan, strategi & ilmu membaca cuaca & menghadapi badai di lautan yang bakal ditempuhi itu.

Kamu berkenan dengan seorang gadis, & kamu berniat baik mahu menikahinya. Namun, kamu terlupa bahawa kamu & dia adalah manusia yang perlu makan, tidur & berehat.

Kamu terlupa bahawa kamu memerlukan persiapan atau sekurang-kurangnya perancangan untuk menyediakan semua itu untuk kamu berdua sebaik sahaja melangkah ke alam BM yang diidam-idamkan sebelum itu.
Apa perancangan kamu untuk menyediakan kelengkapan bagi bakal isterimu & keluargamu kelak? Baik dari segi nafkah, tempat tinggal dan sebagainya.

Firman Allah SWT;
"Dan kahwinlah orang bujang dalam kalangan kamu, & orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki & perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kekayaan kepada mereka & limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas RahmatNya, lagi Maha Mengetahui." [An-Nur 24: 32]
Jaminan rezeki Allah berikan buat mereka yang bernikah kerana mahukan redhaNya. Cumanya, kamu tetap perlu merancang & berusaha.

Bukanlah bermakna kami perlukan banglo, kereta, makanan mewah-mewah. Tidak begitu. Namun, sekurangnya-kurang kesediaan asas-asasnya & persiapan ke arah itu menunjukkan kamu bersungguh-sungguh & telah bersedia untuk memikul tanggungjawab besar sebagai seorang bakal suami.Maka, tolonglah sekurang-kurangnya telah tergambar the whole big picture di dalam fikiranmu, sebelum, semasa & selepas kehidupan BM itu. Peranan, keperluan & strategi yang perlu dilakukan. Bukannya terjebak ke dalam fasa merisik, taaruf (berkenalan) & khitbah (meminang) tanpa usaha, perancangan & strategi kehidupan setelah itu. Kegagalan perancangan & gagal membuat gambaran the whole view inilah yang membuatkan usaha untuk ber-BM tadi terbengkalai & membuatkan gadis tadi tawar hati & menjadi ragu-ragu kepada niat murnimu kerana kegagalanmu menunjukkan kesungguhan itu.


 Menyunting Mawar Agama Dengan Cara Yang Mulia & Terpelihara.

Keduanya, wahai peminang calon bidadari,Pilihlah jalan/saluran yang betul untuk menyunting bidadari yang telah dipilih itu mengikut langkah demi langkah yang diajarkan Rasulullah SAW, yang disarankan oleh Islam.
Terdapat pelbagai cara lelaki meminang wanita pilihannya.
Ada yang mengikut cara lamaran dari Barat, melutut sambil mempamerkan cincin dengan melafazkan kalam lamaran cinta, melamar melalui video yang dipostkan di youtube, melamar sewaktu valentine's day, melamar di hadapan orang ramai, melamar sewaktu siaran langsung rancangan televisyen. Ya, pelbagai cara lamaran yang dikatakan & dianggap sebagai manis-manis, indah-indah, eksklusif dan sebagainya.

Namun, insyaAllah, bagi wanita yang beriman, tiada lamaran yang lebih manis, indah & eksklusif melainkan kamu langsung terus merisik, melamar & menawan hati wali tercintanya.
Niatmu kerana inginkan keredhaan Allah, dibuktikan melalui caramu yang terjaga, menjadikan kamu nampak sebagai pemuda yang berakhlak mulia di matanya. Ya, demi Allah, yang demikianlah lebih manis & diberkatiNya.
Hal ini kerana mereka tahu, keberkatan & kebahagiaan kehidupan perkahwinan setelah itu bukanlah bergantung kepada berapa manisnya lamaran yang kamu buat sebelum nikah. Namun, ia bergantung bagaimana ia dilayari setelah itu.

Maka, jangan membuatkan si dia keliru dengan niat baikmu dengan melamarnya melalui SMS terus kepadanya, email panjang berjela, ayat-ayat manis yang mahu 'berkenal-kenalan', 'berkawan-kawan' dahulu tanpa pengetahuan ibu bapanya.Kamu langsung terus kepada mawar yang sekuntum tanpa meminta dahulu kebenaran tuan empunya taman bunga itu.
Sesungguhnya, untuk pengetahuanmu, cara ini meragukan, kelihatan tidak ikhlas, tidak budiman, pengecut & kurang beradab sebenarnya.

Lakukan sesuatu supaya wali si dia meyakini agama & akhlakmu. Buktikan bahawa kamu lelaki yang beriman, beradab, & diyakini akhlaknya..!
Jika kamu serius mencintainya, ingin menyuntingnya. Mengapa kamu takut mahu menghubungi ayahnya yang merupakan walinya?
Mungkin ada yang tidak puas hati,
"Kenapa pula nak memikat hati bapanya? Bukankah aku nak bernikah dengan anaknya?"
Jika kamu lelaki soleh yang bijak, kamu pasti mengerti, hanya dengan memikat hati walinya-lah kamu akan segera mendapat tempat di hati wanita tersebut. InsyaAllah.Lelaki yang sopan & gentleman begini, siapalah yang tidak mahu untuk menjadi pendampingnya...?

Di sini, sedikit perkongsian yang diambil & diadaptasi dari tulisan Dr Farhan Hadi (Cintaku Kerana Agamamu) tentang langkah-langkah asas untuk meminang bidadari pilihanmu. InsyaAllah, langkah-langkah ini sangat bersopan & praktikal.

MERISIK CALON PEMILIK CINTA

1) Merisik agama & akhlaknya melalui ustaz/ustazah/orang tengah yang soleh, solehah & dipercayai.

2) Bertaaruf (berkenalan) di dalam Majlis Taaruf bertemankan ustaz, ustazah, orang tengah ataupun di samping ahli keluarga sendiri. Proses ini juga boleh dilakukan tanpa berjumpa secara langsung, yakni dengan bertukar biodata yang mencerita perihal diri masing-masing tanpa berselindung yang dilakukan dengan bantuan orang tengah juga.

3) Berkenalan dengan bakal ayah & ibu mertua. Mengambil berat tentang kesihatan mereka. Bina tautan hati & ukhuwah melalui panggilan telefon.

4) Memujuk ibubapa untuk berukhuwah dengan keluarga bakal isteri melalui telefon. Digalakkan bapa berhubung dengan bapa wanita kerana suara bapa lebih mendominasi.

5) Membawa keluarga menziarahi keluarga pihak bakal isteri. Risikan dapat diteruskan dengan lebih sempurna apabila bersemuka.

6) Bertunang. Menjaga adab-adabnya. Tidak mencuri fokus bakal isteri dengan mesej kosong atau panggilan telefon tanpa urusan. Berhubung hanya untuk keperluan.

7) Bernikah dengan kemenangan tanpa melakukan apa-apa yang menghampiri zina dalam tempoh merisik & bertunang. Indahnya!

Kurangkan berhubung dengan calon isterimu. Muliakanlah mereka selaku seseorang yang bakal menyempurnakan agamamu. Jangan kamu calarkan ke-solehah-an mereka sebelum tiba waktunya.

Selagi belum diijabkabulkan, mohon jaga diri, iman, hati, akhlak si dia & juga dirimu sendiri. Mari tetap menjaga ikhtilat & mantapkan pergantungan & doa kepada Ilahi.
Bantu si dia untuk menjadi hambaNya yang solehah. InsyaAllah, si dia juga akan akan berusaha untuk tidak menjadi fitnah buatmu.

Tetapkan Pilihan, Siapa Bakal Penghuni Hatimu?


 Ketiganya, wahai pemuda calon penghuni syurga,

Istikharahlah kamu sebelum menetapkan pilihan hatimu untuk bertaaruf.
"Sesungguhnya, tidak akan menyesal seseorang yang beristikharah kepada Allah & beristisyaroh kepada makhlukNya."

Adalah menghairankan & mengelirukan apabila seorang lelaki yang mengambil keputusan untuk bertaaruf, berkenal-kenalan, berkawan-kawan dengan ramai calon lain di samping wanita ini tadi. Kamu mungkin menyangka perbuatan ini adalah baik. Yelah, memilih yang terbaik di kalangan yang baik-baik. Namun, kamu mungkin terlepas pandang, apa perasaan wanita-wanita yang telah kamu taaruf.Mereka bukannya peti ais di kedai barangan eletrik yang kamu boleh buka tutup pintu, sentuh itu, periksa ini. Kemudian, tidak berkenan, kamu pilih yang lain pula.Jika kamu memang berhajat untuk memilih di antara ramai calon. Apakata kamu merisik melalui orang tengah dahulu tentang agama, akhlak & peribadi mereka serta elakkan dari bertaaruf terus dengan wanita itu bagi mengelakkan salah faham. Haruslah kamu sedar bahawa wanita ini fitrahnya hatinya mudah tersentuh.

Oleh itu, jangan lupa untuk beristikharah & tetapkanlah yang mana satu pilihan hatimu. Jangan berlama-lama dengan 'permainan' yang sebegini.

Hati wanita bukanlah untuk dipermainkan. Sekiranya kamu mengambil keputusan untuk bertaaruf dengannya, pastilah seorang wanita senang tersalah sangka bahawa kamu sudah serius untuk ke fasa seterusnya.Janganlah kamu berani menyentuhi sekeping hati wanita jika kamu tidak berniat untuk menjaga apa yang telah kamu sentuhi itu. Janganlah kamu berani mencuri hati wanita, jika kamu tidak berniat pun untuk menjaga apa yang telah kamu curi itu. Ini adalah peringatan & juga amaran.

Taaruf ertinya berkenalan. Bukannya mengajak bercinta. Jika tersilap langkah memahami makna 'taaruf' ini, kamu & dia boleh terjebak ke lembah menghampiri zina pula. Maka, hati-hatilah.

Pesanan Imam Hassan al-Banna;
"Walaupun seorang lelaki atau wanita mendampingi pasangannya 20 tahun sekalipun tetap dia tidak akan mengenalinya. Ini kerana ia akan cuba menyembunyikan keaibannya (zahir & batin). Setelah berkahwin, barulah keaiban itu akan terserlah." [Hadis al-Sulasa']
Jika kamu & si dia boleh bermujahadah mengawal ikhtilat semasa masih bujang. Mengapa tidak dilangsungkan mujahadah itu di dalam tempoh taaruf & bertunang ini? InsyaAllah, pastinya boleh.

 Bait al-muslim (keluarga Islam) impian.

"Jika niat kita mahu bernikah kerana Allah, Allah akan Membantu kita dalam menyempurnakan hasrat tersebut." [Ustaz Pahrol Mohd Juoi]

Kita sedang merencanakan untuk membina sebuah rumah. Yakni rumah tangga Islam. Maka, bahan binaannya haruslah daripada keimanan, kejujuran, kesungguhan & tawakal kepada Allah. Tiangnya dibuat daripada doa (istikharah) & usaha (istisyarah).
Terdapat cara yang baik, cara yang kurang baik, cara yang terjaga, cara yang kurang terjaga. Maka, usahakanlah untuk menggunakan cara yang terbaik & paling terjaga.

Firman Allah SWT;
"Dan di antara tanda-tanda (kebesaranNya) ialah Dia Menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia Menjadikan di antaramu rasa kasih & sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir." [surah Ar-Rum (30): ayat 21]

  "Marriage is not about LOVE. It's all about making UMMAH."




Monolog & Permintaan Kecilku Sebagai Seorang Wanita.

Aku sedar, pernikahan bukanlah semata-mata khayalan indah yang ditaburi mawar merah bahkan ia penuh dengan mehnah & onak duri.Pernikahan bukan hanya setakat untuk menghalalkan hubungan wanita & lelaki yang bukan mahram, bahkan ia adalah medan terbaik untuk melahirkan mujahid & mujahidah Islam. Bukan hanya untuk menerima & menerima, bahkan untuk memberi. InsyaAllah, untuk suami yang taat kepada Ilahi, aku akan usahakan untuk ikhlas menemani di waktu senang mahupun susah, lapang mahupun sempit selagi mana keimananmu masih teguh buat Robbul Izzati. InsyaAllah, semua ini bukan untuk diri ini mahupun demi dia, melainkan matlamatnya hanyalah kerana Allah SWT.InsyaAllah, baitul muslim ini bukan hanya di dunia, bahkan ingin bercinta sampai ke syurga. Mudah2an Allah memanjangkan jodohku dengan pasangan yang soleh, yang meminangku,
menjadi sahabatku bukan hanya di dunia bahkan juga di syurgaNya kelak. InsyaAllah.

Oleh itu, sesungguhnya, risiklah aku, taaruflah denganku, pinanglah aku & nikahilah aku dengan cara yang terbaik. Cara yang terjaga & diberkati. Cara yang menghormati & memuliakanNya. Kerana sesungguhnya peribadi & akhlakmu kelak, ditentukan oleh akhlak & keperibadianku kini, maka, bantulah aku menjadi hambaNya yang solehah. Untuk aku menjadi bidadari di dunia & di syurgaNya nanti. Amiin.Bantulah aku menjadi solehah, semata-mata untuk meraih redhaNya..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

 
Aslih Nafsak Wad'u Ghairak - Blogger Templates - by Templates para novo blogger