Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha
Penyayang..selawat serta salam buat junjungan mulia kekasih teristimewa.....
Assalamaalaikum dan salam sejahtera buat bakal suamiku,
moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati dirimu yang jarang kutemui, namun
doaku tidak pernah putus mengiringi setiap langkahmu demi meraih
keredhaanNya…“Seindah perhiasan dunia adalah wanita yang solehah,” Kumulakan
warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi
alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini..Alhamdulillah,
itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan
pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu,
insyaAllah.
Calon zaujku,
”Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya,
keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka
beruntunglah kedua-dua tanganmu..” Telah dinukilkan panduan sepanjang zaman,
itulah lirikan utama buatmu memilih calon isteri. Tiap baris itu telah menjadi
hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini. Jika harta yang kau idamkan,
ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama
yang telah dititipkan buatku oleh keluarga yang disayangi. Tiada harta untuk
kupersembahkan dalam taklik ijab kita nanti. Tiada harta sebagai jaminan bahawa
kau akan menikmati sedikit kesenangan apabila ijab bersaksi telah dilafazkan.
Hanya ketenangan yang mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca
kata-kata ... "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia
menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung
dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan
sayang.¨ (Ar-Rum: 21)
Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah
jua ibu dan ayah telah menitipkan aku di bawah pengawasan Allah sebagai penjaga
mutlak diriku. Namun apa yang pasti, aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi
Adam as dan bonda Hawa as, sama seperti mu. Ingin aku berkongsi lafaz sahih ini
denganmu ... ”... maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah
mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu maka, tiada
seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka
siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan demikian) ? dan
ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri...”
(Ali Imran : 159-160)
Kecantikan, itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku
meyakini bahawa kau juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah,
jika kecantikan itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah
langkah. Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu.
Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada tuntutan
agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau menginginkan kecantikan
lahiriah semata-mata.
Aku tidak menjanjikan aku mampu membahagiakan rumahtangga
kita nanti, kerana aku memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah
islamiyyah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk
membangunkan sebuah markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya kepada
Penciptanya yang agung. Melalui pencarian ilmu agama bersama, marilah kita
jadikan pernikahan ini sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam. Aku
masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah
dibekalkan ini, aku ingin menjadi isteri yang sentiasa mendapat keredhaan Allah
dan suamiku untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, kau dan
anak-anak kita untuk dibaiahkan dengan ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa.
Aku bercita-cita bergelar pendamping solehah, seperti mana
yang dijanjikan Rasul, " Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki
yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya,
maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke
mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah
malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia
merenjiskan air kemukanya." (Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)
Renungilah FirmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku
dan dirimu dipertemukan oleh Allah atas namanya pertemuan dan jodoh. “Hai
sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari
diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada
keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan
bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling
meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya
Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (An Nisaa’ : 1) Calon Suamiku yang
dirahmati, " Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana
Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain
(wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta
mereka".(An-Nissa':34)
Membenarkan seperti apa yang telah Dia katakan dalam
QalamNya yang mulia, aku meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku dan
anak-anak pewaris kejihadan Islam yang bakal lahir. Jadikanlah pernikahan ini
sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang
menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan
dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya. Lakukanlah
tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran, qanaah ketabahan moga kita akan
menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga insyaAllah. Ingin aku
berbicara mengenai pemberianmu kepadaku.
Kau membimbangkan akan kehendak bersifat duniawi
semata-mata. Ketahuilah, Benar?! aku tidak menginginkan hantaran bersusun, mas
khawin yang hanya akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita
dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya, maharku sebuah
Qalam Mulia, Al-Quran, kerana aku meyakini Qalam itu mampu memimpin rumahtangga
kita dalam meraih keredhaanNya bukan kekayaan dunia yang bersifat sementara.
Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah ini melalui
pernikahan, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada
agamaku, insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang
sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau
sediakan. Kutitipkan sebahagian daripada pembacaanku dalam Jalan Dakwah
Mustaffa Masyhur, tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya
berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan
yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im. Lihatlah rumahtangga
Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya
tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun
demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang
paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini. Terlalu
panjang rasanya aku mencoretkan warkah ini.
Cukup dahulu buat tika ini, andai diizinkan aku akan kembali
menitipkankan lagi kiriman bertintakan hati ini. Akhir bicara, maaf andai tiada
pertemuan yang kususuli kerana padaku biarlah merindu daripada jemu tatkala
kita disatukan.
Wassalam~
.::. Ya Allah, gembirakan kami dengan redhaMu ~ pertemuan... menghadiahkan kita kasih sayang... jika cinta satu pasti
bertemu... ia tidak ternilai... kerana antara hati kita telah tiada antaranya
lagi yg ada hanyalah cinta kasih Ilahi... kita berpisah hanya sementara kerna
pertemuan bukan milik kita... jasad dan suara berjauhan sentiasa namun cinta
abadi... biar berpisah selalu menderita kerana syurga menagih ujian sedang
neraka dipagari oleh nikmat bertemu tidak jemu...berpisah tak gelisah..setiap masa dan ketika aku sentiasa mendoakanmu agar dirimu sentiasa dirahmati..perpisahan ini hanyalah sementara sebelum dirimu menjadikan aku halal sepenuhnya buatmu..Semoga Allah meredhai hubungan ini..Kita sedang meniti hari dengan melakukan persediaan untuk ke gerbang perkahwinan..Jagalah hubungan dengan Allah.Sepertimana diriku menjaga diri dengan berpandukan batasan syariat,aku yakin dirimu jua begitu..aku menantikan mu dengan penuh kesabaran...agar jarak yang memisahkan ini membuatkan kita betul-betul melakukan persediaan dalam membina mahligai kita bersama kelak dengan berpandukan syariat agama dan sama-sama menjadi ibu bapa yang terbaik untuk bakal mujahid dan mujahidah islam kita nanti..
No comments:
Post a Comment