Saturday 5 January 2013

MUHASABAH DIRI...MOTIVATE DIRI..




Apakah kita pernah mengalami malas beribadah? Terasa berat untuk tilawah atau tidak merasakan kenikmatan ketika membaca Al-Quran atau solat? Atau mungkin merasa susah untuk bangun malam untuk qiyamulail? Sedangkan jam sudah diset untuk mengejutkan kita, alarm handphone juga sudah disetting tetapi ketika berdering kita tetap terlelap dalam tidur, hanya kedengaran seperti dalam mimpi dan akhirnya mati-mati sendiri atau bangun dengan setengah sedar, setelah itu menarik selimut untuk meneruskan tidur. Sedangkan biasanya dengan mudah boleh bangun.

Apa yang terjadi dengan diri kita?
Atau mungkin kita pernah merasakan mulut ini terasa berat ketika melantunkan ayat-ayat Al-Quran atau mengucapkan salam kepada saudara kita. Atau mungkin kita secara sengaja memperlambatkan waktu menunaikan solat, terkadang hati rasa meluat dengan rakan di pejabat kerana hal-hal yang kecil atau prasangka buruk. Terkadang kita melalui hari yang kita isytiharkan sebagai hari malang atau tiada mood. Dan makin malang lagi kita dengan sengaja melanggar titah perintah Allah swt.



Jika hal-hal seperti itu terjadi pada diri kita, maka segeralah kita evaluasi diri. Ada apa dengan diri kita? Keadaan seperti ini jangan dibiarkan begitu saja, lama-kelamaan akhirnya terbiasa. Seperti halnya penyakit, kalau sudah ada simptom-simptom segera berjumpa doktor dan memakan ubat agar segera sembuh. Begitu pula dengan ruhiyah kita, kalau sudah ada gejala ‘bermalasan’ dan penurunan anjakan ruhiyah maka segera kita muhasabah diri kita, bagaimana hubungan kita dengan Allah dan apa yang sudah kita lakukan?

Jangan-jangan kita banyak maksiat yang kita kerjakan hingga menghalangi amalan-amalan kita. Mungkin kita tidak boleh menjaga dari hal-hal yang makruh bahkan diharamkan oleh Allah sehingga menghalangi organ tubuh kita untuk beribadah kepada-Nya. Misalnya, kita menggunakan mata untuk menonton drama/filem yang melalaikan meski cuma satu atau dua jam. Mungkin mata kita tidak dijaga dari melihat hal-hal yang tidak berguna bahkan mengundang maksiat, akhirnya Allah pun tidak menjaga mata kita untuk beribadah padaNya. Lalu, mata kita malas untuk bangunkan kita solat malam, mata kita rasa berat untuk beribadah, rasa berat untuk membaca buku-buku tazkirah hati, rasa berat untuk melihat email-email yang memberi nasihat.

Selain mata, telinga juga perlu kita jaga. Boleh jadi kita susah bangun malam untuk bertaqarub kepada Allah swt kerana kita tidak menjaga telinga kita. Telinga kita digunakan untuk mendengar gosip atau muzik-muzik melalaikan bahkan terkadang boleh terngiang-ngiang dalam memori kita kerana seharian yang didengari adalah muzik-muzik itu, dangdutlah, bollywoodlah, lagu cintanlah, lagu sayulah dan semacam lagi. Akhirnya malamnya telinga kita tidak mampu kedengaran dering jam bahkan suara adzan, telinga kita rasa berat untuk mendengar tazkirah dan telinga rasa bosan mendengar nasihat. Na’udzubillah.

Selain itu mulut tak kalah pentingnya untuk dijaga. Kerana mulut itu pula yang banyak menjerumuskan manusia terutama wanita ke dalam neraka, Na’udzubillah. Kerana mulut boleh menjadi sarana gibah, fitnah, caci-maki, dan sebagainya. Mulut kita jika tidak dapat dikawal, ia seumpama air mengata-ngata perilaku orang lain. Kita kenal pun tidak dengan si pulan tu, tetapi mulut kita syoknya mengatakan mereka. Mulut kita juga rasa berat nak berzikir, tak terkeluar dari mulut. Mengapa ya?

Selanjutnya adalah hati. Ini adalah bahagian terpenting yang perlu kita jaga. Hati ibaratnya pemimpin bagi organ tubuh yang lain, yang menjadi komando. Hati boleh sakit, buta bahkan mati jika semakin banyak berbuat maksiat. Hati ibarat cermin, semakin banyak bermaksiat maka semakin banyak noda titik-titik hitam di cermin itu. Atau bahkan mungkin tidak lagi titik-titik hitam tapi sudah jelaga hitam yang susah dibersihkan dan tidak boleh dipakai untuk bercermin lagi kerana sudah diselaputi. Begitu pula dengan diri kita, semakin banyak kita berbuat maksiat dan tidak bertaubat maka kita semakin terbiasa dengan kemaksiatan itu.

Salah satu yang menyebabkan kematian hati adalah banyak bercanda atau bergurau senda. Dibolehkan jika kita bergurau senda untuk menceriakan suasana atau menciptakan suasana ukhuwah. Tapi tetap memperhatikan adab-adabnya, perhatikan dengan siapa juga dan tidak berlebihan, apalagi adanya lelaki dan perempuan di dalam satu majlis, hati-hati!

Mari kita tengok diri kita, evaluasi diri kita, jika selama ini kita belum menjaga mata, mulut, telinga, hati dan organ tubuh kita yang lain dari kemaksiatan maka segeralah kita bertaubat dan istighfar diri, tidak ada kata terlambat untuk sebuah kebaikan. 
Seharusnya kita merasa sayang kalau tidak boleh tadarus Al-Quran meski hanya terlepas satu hari. Merasa sayang pula jika tidak boleh merasakan nikmatnya beribadah. Jika masih merasa sayang, maka jagalah diri kita, dan Insya Allah, Allah akan menjaga kita agar senantiasa boleh dekat dengan-Nya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts

 
Aslih Nafsak Wad'u Ghairak - Blogger Templates - by Templates para novo blogger